Noor Muha Aziz

PERJALANAN hidup setiap insan telah ditentukan oleh Allah s.w.t..
Setiap ujian yang datang telah disusun mengikut kehendak-Nya jua. Namun
tidak semua insan berpeluang menikmati keindahan hidup seperti mana
yang mereka ingini. Tapi percayalah. Anugerah Tuhan akan sentiasa menemani kita dalam setiap cubaan dariNya.

Segala-galanya terlalu perit buat Noor Muha Aziz, 26.Biarpun menderita pelbagai jenis penyakit dan pasrah dengan ‘nikmat
hidup’nya yang ditarik satu persatu, Noor Muha tidak pernah kesal. Dia
juga tidak pernah membataskan dirinya untuk terus memperguna dan
mendalami ilmu yang ada.

         Melalui seorang teman, saya bertemu dengan Noor Muha di kediamannya
di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini. Melihatkan dia berkerusi roda
saya tidak pernah membayangkan anak muda bersemangat waja dan peramah
ini mengalami cacat penglihatan ketika keadaannya separuh lumpuh dari
aras pinggang ke bawah.

        Suara riang dan sikapnya yang mesra menyentuh hati saya. Paling
mengusik hati apabila dalam teraba-raba dia masih mampu menghidangkan
makanan yang dimasak sendiri untuk menjamu saya dan jurugambar.
Untitled_3

        “Saya memang gemar memasak,” katanya sambil mengambil cawan dari dalam almari.

         Gerak lakunya yang cergas tidak menampakkan kecacatannya. Malah
kerusi rodanya langsung tidak terlanggar perabot dan peralatan di dalam
rumah tersebut. Rasa kagum saya semakin bertambah semasa kami berbual. Beberapa kali
Noor Muha membacakan surah-surah al-Quran dan potongan hadis apabila
membincangkan sesuatu topik dan fokus. Beberapa kali juga Nor Muha menjelaskan beberapa petikan kata-kata
orang ternama yang tidak sedikit ilmunya untuk rujukan ketika
mengemukakan bukti atas setiap cerita yang terluah dari bibirnya.

         Lalu berkatalah hati saya, biarpun matanya tidak dapat melihat,
tetapi hatinya amat terang. Dia membaca melalui mata hatinya, anugerah
Tuhan yang tertinggi untuknya sebagai penawar kepada kesengsaraan
hidupnya
.

        “Saya memang gemar membaca. Selalunya saya ada orang yang
membacakannya kepada saya, tidak pun melalui pendengaran. Saya juga
rajin mentelaah menggunakan komputer peribadi khas untuk orang seperti
saya,” katanya.

         Rasa bangga saya terhadap anak muda ini bertambah apabila
dimaklumkan yang dia sedang dalam proses menyiapkan sebuah buku
berjudul Salasilah Kesultanan Melayu Seluruh Nusantara. Manuskripnya
sudah hampir siap dan bakal dibukukan tidak lama lagi.

         Tidak cukup dengan itu, Noor Muha juga mengendalikan skim insurans
bagi kemudahan orang-orang miskin, OKU dan mereka yang bernasib malang
untuk membantu mereka dari segi kewangan apabila terjadi kejadian yang
tidak diingini.

        Seiring menyiapkan manuskrip berkenaan, Noor Muha juga hampir
menyelesaikan sebuah lagi buku rujukan iaitu Direktori Raja-Raja Melayu.

         Pada saya, manusia sempurna juga tidak punya cita-cita sepertinya,
namun Noor Muha yang mengakui sangat gemar membaca kitab-kitab lama
melakukan semua ini untuk menebarkan pengetahuan yang ada pada dirinya
kepada generasi muda. Jika diizinkan Tuhan, dalam masa terdekat ini Noor Muha juga
kemungkinan mengadakan satu pameran yang menjurus kepada keunikan
Salasilah Raja-Raja Melayu yang bakal diadakan di Pahang.

         Tidak suka bergantung kepada orang untuk menguruskan kehidupan, anak
muda ini turut menjadi Pengurus Acara (Event Management) Pekida Pro
Event Management.

         “Alhamdulillah, setakat ini dengan bantuan rakan-rakan saya dapat
melakukan apa sahaja yang diperlukan oleh pelanggan yang percaya dengan
kebolehan yang ada pada diri saya,” katanya.

         Ilmu yang dimiliki tidak dibiarkan begitu sahaja. Noor Muha turut
mencurahnya kepada mereka yang memerlukan dengan menjadi tutor kelas
tambahan bahasa Inggeris dan matematik di sebuah pusat ilmu di Cheras,
Kuala Lumpur. Noor Muha juga sebelum ini pernah menjadi guru sandaran.

Siapakah anak muda yang bernama Noor Muha ini?

        Noor Muha yang berasal dari Kuantan merupakan anak kesebelas daripada 12 adik-beradik (termasuk adik-beradik tiri). Ketika kecil, diari kehidupan Noor Muha dipenuhi dengan rawatan dan
makan ubat-ubatan kerana dia sentiasa sakit. Biarpun sentiasa mengalami
pelbagai penyakit, Noor Muha tetap aktif dalam kegiatan perkumpulan dan
‘nakal’ sebagai anak lelaki.

         Ketika di bangku sekolah, dia merupakan pelajar yang sangat
cemerlang dan seterusnya meneruskan pembelajaran di Sekolah Menengah
Sains, Dungun, Terengganu ketika dalam tingkatan tiga. Ketika ini nasib tidak menyebelahinya, apabila ketumbuhan yang
dideritainya di tekak melarat sehingga ke perut. Pergerakannya mula
terganggu.

        Pada umur 16 tahun, Noor Muha menjadi lumpuh separuh badan akibat
tulang belakang beralih tetapi nasibnya baik kerana menerusi kaedah
perubatan terkini akhirnya dia mampu berjalan semula dengan menggunakan
tongkat. Dalam tempoh ini, hidupnya sentiasa bergantung kepada ubat. Pun
begitu dia masih mampu ke sekolah dan seterusnya menduduki peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Nasib menyebelahinya apabila dia
berjaya memperoleh sembilan agregat dalam SPM dan berjaya memasuki
Un
iversiti Teknologi Mara (UiTM) untuk meneruskan pengajian dalam
bidang undang-undang.

        “Secara tiba-tiba saya mengalami lelah yang kronik dan tulang
belakang saya teralih semula pada semester pertama menyebabkan saya
lumpuh dan pembelajaran saya terganggu.

        “Atas semangat yang kuat, pada tahun 2000 hingga 2002, saya boleh
berjalan semula (dengan alat bantuan berjalan). Sayangnya ketumbuhan
semakin melarat. Kesan radiasi turut menyebabkan mata saya menjadi
rabun,’’ katanya.

        Tamat pengajian, Noor Muha bertugas sebagai Pembantu Penyelidik di
Muzium Negeri Pahang dan menyewa rumah di Pekan bagi memudahkannya
berulang-alik ke muzium itu.

        Pada tahun 2004, Noor Muha mengalami sakit kepala yang teruk sehingga menyebabkan dia pengsan selama dua jam.

        “Apabila saya sedar, saya dapati saya sudah tidak dapat melihat
lagi. Kesan ketumbuhan itu juga menyebabkan sebelah tangan saya tidak
boleh bergerak dan sebelah telinga menjadi pekak sehingga kini,”
katanya.

         Enggan menyusahkan sesiapa, Noor Muha mengambil keputusan untuk
hidup sendiri di Kuala Lumpur, jauh daripada keluarga. Sudah tentu
sepanjang hidup sendiri, pelbagai kepahitan hidup dilalui. Sudahlah
jauh daripada keluarga, kekasih hati juga menjauhkan diri sedangkan
tarikh perkahwinan yang bakal berlangsung September ini masih
terawang-awang.

         Semangat juang Noor Muha untuk meneruskan kehidupan akan terus
menyala selagi Tuhan masih mengizinkan dia hidup di bumi ini. Jika
sampai saatnya dia dijemput pulang, dia reda dengan ketentuan Tuhan.
Sementara menunggu saat itu, Noor Muha pasrah dan mengharapkan setiap
hari dia dapat berbakti kepada mereka yang memerlukan.

         Saya melangkah meningalkan rumah Noor Muha berserta rasa syukur, sesal dan sebak di dada. Syukur dengan segala rezeki dan  peluang yang Allah dah beri. Sesal kerana seringkali ‘buta’ dengan peluang2 yang sedia ada depan mata. Insaf dan sebak bila mengingatkan masih ada orang lain yang sebenarnya lebih teruk dan cekal menghadapi dugaan Allah. Doa saya semoga Allah melindungi Noor Muha. 

hurmm.. menarik…
-
hasil edit dari tulisan Rosmah Dain - Utusan Malaysia-

Comments are closed.