Berhati-hati memilih kawan - Ruzana

 SEPANG 13 Mei - Setelah 13 bulan ditahan
di Pusat Tahanan Windsor di Australia, Ruzana Zubir, 37, akhirnya menjejakkan
kaki ke tanah air dengan membawa pengajaran yang paling berguna iaitu
berhati-hati memilih kawan. Kejadian itu juga, kata Ruzana banyak mengajarnya
supaya pada masa depan tidak mengulangi perkara bodoh dengan membawa barang
yang dikirim oleh orang yang baru dikenali walaupun kelihatan alim dan baik
.

Untitled "Selama 37 tahun saya hidup, inilah
pertama kali saya mengalami perkara seumpama ini, jadi pada masa depan saya
tidak akan buat benda bodoh ini lagi.

"Saya tidak menyangka perkara ini akan
berlaku. Memang saya marah tetapi benda telah berlaku dan orang yang
bertanggungjawab itu telah dimasukkan ke penjara.
Bagaimanapun saya akan
memberikan kerjasama kepada pihak polis,” katanya.
 

  Ruzana ditemui sebaik sahaja menjejakkan
kaki di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini malam
ini. Ketibaannya disambut oleh kakak sulungnya, Ruzni, 40, dan adiknya,
Ruzaiya, 32, dari Bentong, Pahang serta abangnya Mohd. Zulkifli, 38, dari
Rawang, Selangor. Ruzana ditemani oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah
dan peguam cara, Raj Palany.
 

 Semalam, mahkamah daerah Sydney
membebaskan Ruzana daripada tuduhan menyeludup lebih lima kilogram candu ke
Australia, April tahun lalu. Ruzana, seorang jurujual kereta sambilan, dituduh
mengikut Seksyen 233B Akta Kastam 1901 (Undang-Undang Australia) yang boleh
dihukum penjara seumur hidup atau denda sehingga RM2.08 juta (AUS$750,000). Pegawai
kastam menemui satu paket yg dibalut dgn pita dalam beg Ruzana apabila dia tiba diSydney pd 27Mac tahun lalu.

Pihak pembelaan mengemukakan seorang
saksi dari Malaysia, Mohd. Noor Ikhwan Jaimi selain beberapa dokumen berkaitan
penahanan dan pendakwaan seorang warga Iran, Bahman Jalilipanah Gholamali (Haj)
atas tuduhan mengedar dadah. Menurut kes pembelaannya, Ruzana menyatakan Haj
telah memintanya membawa paket mengandungi ubat ‘herba-Iran’ untuk
diberikan kepada rakan Haj yang sakit di Sydney.

 Ditanya mengenai perasaannya setelah
dibebaskan, Ruzana berkata ia umpama mati hidup semula kerana sebelum ini dia
berasa seperti tidak ada harapan untuk dibebaskan tetapi setelah Muhammad
Shafee memberi bantuan, harapannya kembali berbunga.

Bagaimanapun, jelasnya nasihat ibunya
melalui panggilan telefon yang dibuatnya setiap bulan supaya tidak meninggalkan
sembahyang dan sentiasa kuat semangat memberikannya semangat untuk bertahan.

Comments are closed.